Wednesday, February 29, 2012

Unsur Penipuan Di Dalam Skim Pelaburan Projek Pertanian

Kebelakangan ini sering terdapat rungutan dan laporan daripada orang ramai berkaitan kes penipuan di dalam skim pelaburan pertanian yang dianjurkan oleh syarikat-syarikat swasta dan individu tertentu. Kes-kes penipuan ini melibatkan penyertaan orang ramai dalam projek-projek pertanian seperti penanaman serai, penternakan cacing, lintah, ikan keli dan burung walit. Syarikat-syarikat swasta ini akan memujuk orang ramai berdaftar sebagai ahli dengan mengenakan yuran keahlian yang tinggi di samping meminta ahli untuk membeli benih dan lain-lain input pertanian daripada syarikat berkenaan sebagai syarat utama untuk menyertai skim pelaburan ini. Syarikat ini turut menjanjikan pembelian balik hasil pertanian dengan harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran. Kes-kes penipuan seperti ini telah pun dikesan di negeri-negeri seperti Kelantan, Kedah dan Pahang.

Sehubungan dengan itu, orang ramai adalah diminta supaya berhati-hati terhadap tawaran syarikat tertentu dalam Skim Pelaburan Projek Pertanian. Orang ramai juga adalah dinasihatkan merujuk kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani atau agensi-agensi kerajaan yang berkenaan bagi memastikan kesahihan syarikat atau individu yang menawarkan sebarang Skim Pelaburan Projek Pertanian.

Bahagian Penggalakan Pelaburan
Pembangunan Perniagaan dan Penswastaan
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani



No comments:

Post a Comment